SEJARAH PENUBUHAN SEKOLAH

             Sekolah Kebangsaan Lung Manis terletak hanya sejauh 87 km dari Bandar Sandakan. Ini termasuk 8km dari simpang jalan ke Telupid. Sekolah ini telah mula beroperasi pada tahun 1964 atas kesedaran yang amat tinggi oleh syarikat pembalakan iaitu Syarikat Borneo Timber ataupun BBT mengenai anak-anak pekerja syarikat tersebut. Pada tahun 1965, sekolah ini telah dirasmikan oleh Pengarah Sabah Timber Company (dulunya BBT) iaitu Mr. R.M.Macpherson. Beliau jugalah yang mengusahakan pengwujudan sekolah ini.

SEJARAH SEKOLAH
 
        Sekolah ini diasaskan dan ditubuhkan oleh Sabah Timber Company  yang juga dikenali terlebih dahulu sebagai British Borneo Company pada tahun 1964. Sekolah ini dahulu terletak di sebuah penempatan pekerja-pekerja pembalakan yang terletak  sejauh 5 kilometer dari tapak sekolah yang ada sekarang.  Bangunan asala sekolah ini hanyalah merupakan sebuah pondok kajang.  Pada awal penubuhannya, hanya 20 orang murid sahaja dan dikendalikan oleh seorang guru bernama Puan Evarista G. Tana. Pada ketika itu, sekolah ini dikenali sebagai Native Voluntary English School.

         Pada awal tahun 1965,  sekolah ini telah dipindahkan ke Kampung Lung Manis. Bangunannya diperbuat daripada kayu dua tingkat dengan lantai bawahnya bersimen. Ianya mempunyai empat bilik darjah dan sebuah bilik guru besar. 
      Setelah bangunan ini siap dibina, pengajaran dan pembelajaran dilakukan di tingkat bawah sebuah rumah kediaman yang kira-kira setengah kilometer dari bangunan tetap ini selama 3 bulan.
Bangunan sekolah baru ini telah dirasmikan oleh Pengarah Sabah Timber Company (STC) sendiri iaitu Mr. R.M. Macpherson.
     Sekolah baru ini dikenali sebagai Native Voluntary School dan bilangan muridnya telah bertambah ke angka 50 orang. Pada tanggal 09 Januari 1968, sekolah ini menerima seorang lagi guru iaitu Puan Lillia P. Gayongala.
          Pada tahun 1974, sekolah ini mula mengambil murid- murid luar. Sebelum ini hanya anak-anak di kalangan pekerja Sabah Timber Company sahaja yang dibenarkan bersekolah di sini. Justeru itu, jumlah murid semakin bertambah dan diikuti juga dengan bilangan tenaga pengajar.
         Pada pertengahan tahun 1983, apabila STC berhenti beroperasi, semua bangunan yang terdapat di kawasan sekolah ini telah diserahkan kepada Jabatan Pelajaran. Selain daripada bangunan sekolah, turut diserahkan ialah dua buah rumah pengurus syarikat, sebuah hospital yang diubahsuai menjadi kuarters guru dan sebuah dewan/kelab yang mempunyai ruang panggung wayang, dewan bowling dan 5 buah bilik rekreasi.
        Pada tahun 1984, apabila murid bertambah ramai, pihak pengurusan sekolah telah mengambil keputusan untuk mengubahsuai bilik-bilik rekreasi sebagai bilik-bilik darjah. Kemudian sekolah imi telah menggunakan kedua-dua blok dewan dan bangunan sekolah asal yang jaraknya kira-kira 100 meter sebagai bangunan untuk murid-murid belajar.  
          Sekarang ini sekolah ini dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Lung Manis.

No comments: